Thursday, October 7, 2010

dibaca ya

Tafsir / Al-Baqarah, ayat 42: Jangan sembunyikan yang benar Al-Baqarah, ayat 42: Jangan sembunyikan yang benar
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Selepas Allah mengarahkan kepada Bani Israil beberapa arahan, antaranya mengingati nikmat, menunaikan janji, takut kepada-Nya, beriman dengan kitab yang diturunkan, jangan menjadi orang yang pertama kafir, di samping jangan menjual ayat-ayat Allah, maka Allah meneruskan lagi arahan dan suruhan-Nya dengan ayat berikut.

Surah al-Baqarah, ayat 42 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

Firman Allah: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah”, iaitu jangan sekali-kali kamu mencampurkan antara kebenaran yang diturunkan daripada Allah dengan kebatilan yang kamu rekaciptakannya dan jangan juga kamu mengubah apa yang terdapat di dalam Taurat dengan cara pembohongan dan penipuan yang kamu ada-adakannya.

Al-Samarqandi dalam tafsirnya Bahr al-Ulum berkata: “Campur adukkan di sini pada bahasa adalah memakai pakaian, dengan maksud dan maknanya jangan kamu campurkan kebenaran dan kebatilan, di mana kamu sembunyikan sifatnya, yang demikian itu kerana mereka mengkhabarkan sebahagian sahaja sifatnya dan menyembunyikan sebahagian yang lain supaya mereka mempercayai dan membenarkan. Dengan demikian itu sehingga mengelirukan mereka.”

Qatadah pula berkata: “Jangan kamu campur adukkan ajaran Yahudi dan Kristian dengan Islam, sedangkan kamu tahu hakikat agama Allah yang sebenarnya ialah Islam.”

Ada pendapat menyatakan maksud ayat ini ialah jangan kamu beriman dengan sebahagian dan beriman dengan sebahagian yang lain.

Di samping itu, “Dan kamu sembunyikan yang benar itu pula”, iaitu jangan sekali-kali kamu sembunyikan apa yang terdapat di dalam kitab kamu daripada segala sifat Muhammad s.a.w.

Ibn Jauzi melalui kitabnya Zad al-Masir berkata: “Dikehendaki dengan kebenaran dua pendapat: Pertama, bahawa ia berhubung dengan urusan Nabi s.a.w, inilah pendapat Ibn Abas, Mujahid, Qatadah, Abu al-`Aliah, al-Suddi dan Muqatil. Kedua, bahawa ia berhubung dengan agama Islam, seperti pendapat al-Hasan.”

Al-Imam al-Maghari berkata: “Larangan yang pertama berkaitan dengan pemindaan dan penukaran, sedangkan larangan yang kedua daripada menyembunyikan.”

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya Taisir al-Karim berkata: “Kerana maksud daripada ahli kitab dan ilmu, ialah membezakan kebenaran dan menzahirkannya supaya memberi petunjuk kepada orang yang mendapat hidayat dan kembali orang-orang yang sesat daripada kesesatannya disamping menjadi hujah dan bukti ke atas orang-orang yang mengingkarinya. Begitu juga kerana Allah menerangkan melalui ayat-ayatnya dan menjelaskan segala kenyataannya untuk membezakan yang hak daripada batil dan membetulkan jalan orang yang silap. Justeru siapa yang beriman dengan ini dari kalangan ahli ilmu sebenarnya ia layak menjadi pengganti Rasul dan petunjuk ummah.”

Seterusnya ayat ini menerangkan cara mereka dalam kesesatan dan penyelewengan, sebagaimana yang terkandung di dalam kitab-kitab mereka:

1. Peringatan daripada nabi-nabi mereka berhubung dengan pendustaan, dengan kebangkitan.
2. Allah s.w.t bangkitkan pada mereka seorang nabi daripada anak Ismail, daripada perempuan yang bernama Hajar dan diterangkan segala alamat yang jelas tanpa sebarang kekeliruan, sebaliknya merekalah (paderi dan pendeta) yang mengelirukan dengan berbagai-bagai tohmahan kepada Rasulullah s.a.w.

“Padahal kamu semua mengetahuinya”, iaitu sebenarnya atau keadaan kamu yang mengetahui dengan kemudaratan menyembunyikannya.

Al-Fakh al-Razi berkata: “Larangan daripada campur aduk dan menyembunyikan terikat dengan ilmu, walaupun begitu bukan bermakna keharusan campur aduk dan menyembunyikan golongan tanpa ilmu dan sebab keterikatan kepada golongan berilmu kerana tindakan mereka jauh lebih mudarat dan besar kesannya daripada perlakuan yang dilakukan oleh orang jahil apabila mereka mempunyai ilmu berada dalam tipu daya daripada segala kerosakan ini. Justeru tindakan mereka jauh lebih buruk dan keji. Oleh itu ayat ini menunjukkan bahawa orang alim yang mengetahui dengan sebenarnya wajib menzahirkannya dan haram ke atasnya menyembunyikan.”

Ibn Qayim melalui kitabnya `Ilam al-Muwaqi`in menegaskan seperti berikut: Jika seseorang hakim atau pemberi fatwa dihadapkan oleh sesuatu masalah, maka ada dua kemungkinan iaitu:

1. Ia mengetahui masalah itu dengan keyakinan yang mantap atau ia mengetahui masalah itu dengan dugaan kuat yang ia dapati setelah mengeluarkan daya upayanya dengan mencari atau mengetahui masalah itu.

2. Ia tidak mengetahui masalah itu dan tidak memiliki dugaan kuat terhadap masalah itu, jika ia tidak mengetahui masalah itu dengan mantap dan juga tidak memiliki dugaan yang kuat dengan mengeluarkan daya upayanya untuk mengetahui masalah itu maka ia tidak boleh mengeluarkan fatwa dan mentapkan hukum pada masalah itu, dan jika ia melakukan hal itu, maka ia akan mendapat ancaman seksaan Allah serta termasuk dalam firman Allah yang berbunyi: “Katakanlah; Rabb-Ku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak mahupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yan Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa saja yang kamu tidak ketahui.” (al-`Araf: 33)

Ayat ini menerangkang bahawa berpendapat tentang (ketetapan) Allah tanpa didasari ilmu, maka hal itu adalah perbuatan yang termasuk dalam empat perbuatan yang amat dilarang Allah, yang tidak dibolehkan pada setiap keadaan. Untuk itu larangan keempat perbuatan ini diungkapkan membatasi iaitu dengan menggunakan kata “hanya” juga termasuk dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikut langkah-lamgkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan kepada Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (al-Baqarah: 168-169)

Termasuk pula sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi fatwa tanpa didasari ilmu, maka dosanya hanya bagi orang yang memberi fatwa.”

Juga termasuk pada seorang hakim dari tiga hakim yang dua di antaranya mereka berada di neraka, iaitu hakim yang memutuskan perkara tanpa didasari ilmu pengetahuan. Dan juga ia mengetahui masalah itu dengan mantap atau memiliki dugaan yang kuat, maka ia tidak boleh memberi fatwa atau mengeluarkan ketetapan hukum yang sebaliknya. Jika seseorang mengeluarkan fatwa atau menetapkan hukum tanpa didasari ilmu pengetahuan akan mendapat dosa besar, maka bagaimana halnya dengan orang yang mengeluarkan fatwa atau menetapkan sesuatu hukum dengan ketetapan yang telah ia ketahui bahawa keteapan itu bertentangan dengan ketetapan yang sebenarnya? Tidak diragukan lagi, bahawa ia telah sengaja berbuat dusta kepada Allah dan Allah telah berfirman yang bermaksud: “Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam.” (al-Zumar: 60)

Tidak ada yang lebih besar kezalimannya daripada orang yang mendustai Allah dan agama-Nya, dan seseorang yang memberi fatwa dengan tidak didasari pengetahuan bererti ia telah mendustai Allah dengan kebodohan, oarng-orang seperti itu telah lebih buruk keadaannya daripada orang yang menuduh seseorang telah berzina kerana kemungkaran dilihat oleh dirinya seorang, bagi Allah ia telah melakukan dusta walaupun ia mengkhabarkan kenyataan, kerana Allah tidak mengizinkan orang itu bersaksi pada suatu perbuatan zina itu, jika Allah menganggap dusta kepada seseorang yang telah bersaksi pada suatu perbuatan zina padahal berita itu benar, maka bagaimana dengan orang yang mengkhabarkan suatu hukum ketetapan Allah sementara ia sendiri tidak tahu ketetapan Allah itu? Dan juga Allah tidak memberinya izin untuk menetapkan hukum itu atau memberi fatwa?

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. (Itu benar) kesenangan yang sedikit, dan bagi mereka azab yang pedih.” (al-Nahl: 116-117)

Dan firman Allah lagi yang bermaksud: “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah dan mendustakan kebenaran ketika datang kepadanya.” (al-Zumar: 32)

Berdusta kepada Allah bererti mendustai kebenaran, Allah berfirman: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah. Mereka itu akan dihadapkan kepada Rabb mereka, dan para saksi akan berkata: Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Rabb mereka. Ingatlah kutukan Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim.” (Hud: 18)

Walaupun ayat-ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang musyrik dan orang-orang kafir, akan tetapi termasuk pula di dalamnya untuk orang-orang yang mendustai Allah dalam tauhid, agama, nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan Allah, dan tidak termasuk dalam ayat-ayat ini bagi orang yang salah dalam ketetapan fatwanya jika ia telah mengeluarkan segala kemampuan dan daya upaya untuk mencapai kebenaran hukum Allah yang telah Allah syari`atkan, kerana hal inilah (berusaha dengan segala daya upaya) yang telah Allah wajibkan kepada hamba-Nya, orang yang taat kepada Allah tidak akan mendapat ancaman siksaan Allah walaupun ia salah kerana kelengahannya.

Ibn Jarir al-Tabari merumuskan ta’wilan ayat ini di dalam kitabnya Jami’ al-Bayan seperti berikut: “Jangan kamu campur adukkan kepada manusia hai pendeta-pendeta daripada kalangan ahli kitab pada urusan Muhammad s.a.w dan apa-apa yang didatangkan dengannya di sisi Tuhannya. Sedangkan kamu sangka bahawa ia dibangkitkan hanya kepada sebahagian bangsa bukan semua, atau kamu bersifat munafik pada urusannya, tetapi yang sebenarnya kamu amat maklum bahawa ia diutuskan kepada kamu semua dan semua umat yang lain. Malangnya kamu campur adukkan kebenaran dengan pendustaan disamping kamu menyembunyikan dengannya apa yang kamu dapatinya pada kitab kamu daripada segala sifatnya. Bahawa ia merupakan rasul-Ku kepada seluruh manusia, sedangkan kamu mengetahui hakikatnya yang ia sebagai rasul-Ku. Begitu jua apa yang dibawa kepadamu daripada-Ku. Dan kamu mengetahui bahawa daripada perjanjian-Ku yang Aku ambilnya daripadamu sebagaimana termaktub di dalam kitabmu ialah hendaklah beriman dengannya dan dengan apa yang dibawa di samping mempercayainya.”

No comments:

Post a Comment